Pemandu juga akan kehilangan kawalan stereng kerana ketika tayar terkunci kereta akan terus melulu ke hadapan walaupun stereng diputar ke kiri atau ke kanan dan akan menyebabkan pemandu tidak boleh mengelak halangan di hadapan. Brek yang mempunyai sistem ABS ini masih lagi menggunakan sistem hidraulik seperti brek konvensional biasa. Tetapi ia mempunyai sebuah modulator yang berfungsi ketika tayar mula mahu terkunci. Modulator ini akan melepaskan tekanan brek bagi mengelakkan ia terkunci dan kemudian memberikan semula tekanan kepada angkup brek. Proses tersebut berlaku dengan sangat pantas, tidak sampai sesaat pun untuk setiap sesi bagi memastikan jarak pemberhentian
yang singkat dapat dicapai.
Bagaimana modulator tersebut mengawal litar hidraulik brek?
Modulator sistem ABS ini tidak berfungsi secara bersendirian. Ia turut dibantu oleh sensor kelajuan (wheel speed sensor) yang diletakkan pada setiap tayar dan  juga sebuah kotak komputer untuk memproses data yang diterima daripada sensor kelajuan tadi. Kotak komputer akan mengesan sekiranya ada tayar yang akan terkunci ketika pemandu membrek melalui bacaan yang diambil dari sensor kelajuan. Kemudian ia akan mengarahkan modulator untuk melepaskan tekanan pada litar brek dan memberikan tekanan semula setelah beberapa milisaat. Jika tayar masih lagi boleh terkunci, kotak komputer akan mengarahkan modulator untuk melakukan proses tadi sekali lagi sehingga pemandu melepaskan kakinya dari pedal brek. Dan keseluruhan proses tadi boleh berlaku dalam masa tidak sampai satu saat.